24 March 2010

Kemahiran sebagai jaminan kerjaya cemerlang


     SEJURUS selepas keputusan peperiksaan diumumkan, pastinya ratusan ribu pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan mulai sibuk menetapkan hala tuju masing-masing dengan memilih destinasi pengajian mahupun kerjaya yang ingin diceburi selepas ini.

     Pastinya faktor minat, kemampuan diri berdasarkan pencapaian yang diraih mahupun tawaran yang datang bakal dijadikan pertimbangan bagi membuat keputusan, sama ada ingin meneruskan masa hadapan dengan melanjutkan pengajian ataupun mula bekerja kelak.

     Majoriti pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM, biasanya sudah memikirkan dan merancang hala tuju masing-masing semasa empat bulan menunggu keputusan peperiksaan diumumkan dan sebilangan besar pastinya memasang cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Hampir 90 peratus daripada pelajar-pelajar yang baru menamatkan persekolahan akan memilih jurusan pengajian bersandarkan kepada faktor populariti, trend dan ikutan semata-mata sahaja tanpa menimbangkan keperluan dan permintaan terhadap mereka di dalam bidang kerjaya selepas lima hingga 10 tahun daripada sekarang.
    
     Tambahan persepsi ini bukan sahaja membelenggu pemikiran pelajar-pelajar sahaja, malahan turut diikuti oleh sebilangan besar ibubapa mereka. Ibu bapa hanya mementingkan anak-anak mendapat segulung ijazah ataupun diploma sahaja, tidak kira dalam bidang mana asalkan ia boleh dibanggakan dan diketahui umum. Soal kelulusan dan sijil pasti menjadi satu kemestian yang perlu dipertimbangkan oleh para pelajar namun harus diingat globalisasi kerjaya yang sangat mencabar sekarang memerlukan seorang pelajar yang bukan sahaja memiliki kelulusan di atas kertas malah mempunyai bakat dan juga kemahiran yang mencukupi.

     Lantas, 95 peratus majikan pada hari ini lebih menitikberatkan aspek kemahiran dan juga pengalaman yang dimiliki oleh seseorang bakal pekerja berbanding kelulusan akademik semata-mata. Sebilangan pelajar hari ini dilihat mudah terpengaruh dengan rakan-rakan dalam membuat keputusan berkaitan bidang pengajian yang akan diikuti dan kebanyakan pelajar terutamanya di kalangan bumiputera lebih cenderung untuk memilih jurusan yang senang untuk lulus, bukannya bidang yang mudah untuk membangunkan sebuah kerjaya yang stabil bagi tempoh masa yang panjang. Kadang kala pelajar terjebak dengan hutang pengajian yang terlalu tinggi berbanding permintaan yang sangat terhad terhadap bidang atau jurusan yang diambil.


     Individu yang mengimpikan kerjaya cemerlang kini sudah bijak memilih bidang pengkhususan mengikut kehendak majikan. Walaupun terdapat pelbagai bidang yang berbeza namun pelajar dan ibu bapa masih menjadikan bidang-bidang ini sebagai bidang pilihan pertama. Bagi yang berminat  dalam bidang pengurusan dan pentadbiran pejabat mereka boleh mengikuti bidang Kesetiausahaan dan Pengurusan Pejabat yang membolehkan graduan mencipta karier sebagai seorang setiausaha, pegawai khas, pembantu peribadi, ketua kerani, pembantu tadbir, pegawai tadbir, pensyarah di dalam bidang kesetiausahaan, pengurusan, pentadbir organisasi, koordinator serta penasihat organisasi.

       Manakala bagi pelajar-pelajar yang ingin menceburi profesion sebagai seorang pengaturcara komputer, juruanalisis sistem, pegawai IT, sokongan teknikal & rangkaian, pereka laman web, pensyarah IT serta membuka perniagaan berasaskan IT boleh mengikuti bidang Teknologi Maklumat & Pembangunan Laman Web.

No comments:

Post a Comment